Dari Seorang Isteri Jahil Dan Baran Menjadi Isteri Yang Soleh Dan Penyabar, Anak Ini Merupakan Asbab Hidayah

Gambar sekadar hiasan..




Bagaimana seorang isteri yang sering memaki suami, menyumpah seranah, jahil dan panas baran sehingga sanggup tepikan hukum Allah menjadi seorang isteri yang penyabar dan solehah, dan dia antara insan yang terpilih mendapat hidayah-Nya.


Mungkin dengan perkongsian ini akan dapat membantu para isteri yang mempunyai masalah yang sama untuk mencontohi wanita ini dengan berubah ke arah yang lebih baik.


Oleh: Nurul Ain



Pengakuan ni bukan bertujuan membuka aib atau pekung di dada sendiri, tapi sekadar untuk diambil iktibar dan dijadikan tauladan sekiranya ada mesej dan moral yang disampaikan.

Saya berasal dari keluarga yang punah, punah ni maksudnya keluarga yang porak peranda, yang tak sempurna didikannya. Sesiapa yang dekat dengan ahli keluarga kami, atau rakan-rakan sekolah saya dulu pasti tahu bagaimana kisah keluarga kami.

Sebab itulah seorang bapa yang beriman, yang soleh, yang cintakan anak isterinya, dia tak akan menghancurkan kebahagiaan keluarga demi mencari kebahagiaan sendiri. Disini bermulanya titik kemusnahan institusi sebuah keluarga, seterusnya memberi efek negatif kepada mental dan emosi anak-anak.

Zaman kecil saya tak pernah sunyi dari maki hamun dan sumpah seranah, sehingga tanpa sedar ia membina jati diri saya, dan menjadikan saya juga seorang pemaki, especially bila bergaduh dengan suami, sebelum tu sifat pemaki tak ketara dalam diri saya.

Tapi ini cerita 5 tahun lepas. Yup, 5 tahun lepas.


Daripada baran menjadi penyabar dan mendapat hidayah



Bila bergaduh dan bertengkar saya akan guna kata-kata kesat dan memaki suami sendiri, walaupun tahu ianya dosa besar, walaupun tahu seorang isteri tidak akan mencium bau syurga, tapi iman saya lemah, saya lebih suka turutkan nafsu amarah.

Sehinggalah Allah kurniakan saya seorang cahaya mata setelah 5 tahun menanti kehadirannya. Maka bermula dari khalifah kecik inilah hidup saya HAMPIR berubah 360’.

Dari seorang yang jahil kepada suka mencari ilmu, dari seorang yang baran kepada penyabar, dari seorang yang penuh sifat mazmumah kepada mahmudah. Anak ini merupakan asbab hidayah saya.

Apa yang saya tahu dialah aset akhirat kami, dialah cinta dan kasih sayang kami, dialah permata yang Allah amanahkan kepada kami, dialah bakal menyambung tugas Nabi, dialah bakal menjadi pejuang ugama satu hari nanti (cita-cita si ibu tinggi tapi iman lemah).


Dikurniakan kefahaman setelah mencari ilmu



Melalui pembacaan yang cetek, saya dikurniakan kefahaman.



Masakan ibu yang buruk akhlaknya mampu melahirkan seorang anak yang soleh? Mampu melahirkan seorang anak yang akhlaknya menyerupai akhlak Nabi? Maka dari situlah saya banyak muhasabah diri, perang dalaman, lawan nafsu jahat dan negative dalam diri.

Sebagaimana saya inginkan dia menjadi insan yang soleh, begitulah saya perlu bentuk dan solehkan diri saya terlebih dahulu. Mungkin hikmahnya 5 tahun kami menunggu, jadi saya sangat appreciate dan hanya mahukan yang terbaik untuk dia.


Ibu guru pertama untuk anak-anak



Kata orang, ibu adalah "madrasah" pertama anak-anak.

Apa yang ibu ajar, apa yang ibu amal, apa yang ibu buat, apa yang ibu cakap, semua akan diserap ke dalam jiwa anak-anak, elok acuannya, eloklah kuihnya, buruk acuannya, buruklah kuihnya.

Bagaimana ingin lahirkan anak acuan Al-Quran sedangkan hari-hari kita sendiri tidak membaca Al-Quran? Bagaimana ingin suburkan jiwa yang luhur sedangkan hari-hari anak dihiburkan kata caci dan nista? Bagaimana ingin lahirkan seorang pejuang ugama jika dengan nafsu sendiri pun si ibu tidak mampu berjuang?

Dan sehinggalah saya jadi saya hari ini, yang apabila manusia mencemuh, menghina dan mencaci saya pun, saya anggap ia hanya irama dan lagu lalat berterbangan, sekadar menepis, tidak ada keperluan untuk membalas segala kata cacian dan penghinaan manusia.

Kita tak rugi apa-apa dihina oleh manusia yang rendah akhlaknya, miskin adabnya, sebaliknya kita yang rugi apabila kita pula yang merendahkan akhlak sendiri, tunduk sama level dengan mereka. Maka apa bezanya kita dengan mereka? Tak ada beza.

Mulia atau hinanya manusia bergantung kepada amal soleh dan ketaqwaan seseorang, bukan bergantung kepada sedikit atau ramainya manusia yang mencemuh diri kita, manusia bukan Tuhan untuk menghakimi manusia lain.


 Allah berfirman, “Inna akromakum indallahi atqokum” (49:13)

“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling tinggi taqwanya disisi Allah”

Manakala hukama’ pula pernah berkata;

“Al mar’atu ‘imadul bilad, itza fasadat, fasadatil bilad, wa itza soluhat, soluhatil bilad”

“Wanita itu TIANG negara, apabila ia rosak, maka rosaklah negara, dan apabila ia soleh, maka solehlah negara”


Kehebatan wanita soleh bukan sekadar mampu mempengaruhi jiwa dan akhlak anak-anak mereka sahaja, bahkan mampu mengubah seisi negara, seisi dunia (dengan izin Allah).

Jika saya masih tidak baik hari ini, tak bererti saya tak boleh ajak manusia kearah kebaikan, jika saya masih hina hari ini, tak bererti saya tak boleh mendakwahkan akhlak yang murni, jika saya masih keji hari ini, tak bererti saya tak boleh mengajak manusia kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar.


Berfikiran matang dan rasional



Saya tak terkilan dengan golongan yang saban hari mencaci dan menghina saya, tapi saya sangat berharap ibu bapa prochoice tampil matang dan rasional bila berhujah, tidak menggunakan perkataan-perkataan kesat yang menunjukkan kerendahan moral kita sebagai ibu bapa.

Sebab diakhirnya kita semua ingin lahirkan anak-anak soleh penyejuk mata dan hati, yang bakal memimpin tangan kita ke syurga abadi, yang bakal mendoa dan mensedekahkan ayat-ayat kalamuLlah ketika kita di alam kubur nanti.

Maka kita dulu sebagai ibu bapa perlu menjadi role model buat mereka, perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik, supaya anak-anak ini adore dengan ibu bapa mereka, supaya anak-anak ini menjadikan ibu bapanya sebagai idola selepas Baginda saw.

Dengan asbab itu mudahlah mereka untuk taat kepada ibu bapa walau dibelakang mata kita sekalipun, kerana ibu bapa sentiasa wujud di hati mereka pada bila-bila masa, dan di mana saja mereka berada.
Share on Google Plus

0 comments: