4 Perkara Ayah Harus Buat Dalam Bab Membantu Membesarkan Anak-Anak..

Membesar dan mendidik anak memerlukan kerjasama dua pihak iaitu ibu dan ayah. Sebagai ketua sudah tentu ayah perlu lebih pakar dalam bab membesarkan anak.
Jangan meletakkan tugas mengasuh dan mendidik anak di bahu ibu sahaja sementara ayah hanya beri tumpuan pada soal mencari nafkah sahaja. Perlu diingat bahawa tumbesaran anak yang sempurna mestilah melibatkan didikan dan asuhan daripada ibu dan ayah.
Kadangkala kehadiran ayah dalam aktiviti si kecil terutama ketika bermain lebih menyeronokkan mereka dibandingkan ibu. Mengikut pendapat pakar psikologi, terdapat empat perkara penting yang ayah harus buat dalam bab mengasuh anak.
1. Visi
Ayah yang baik sudah tentu mempunyai visi untuk memastikan rumahtangganya sentiasa bahagia. Oleh itu ayah harus menjadi ketua keluarga yang tegas dalam menerapkan disiplin dan peraturan untuk anak-anak.
2. Tegas tapi mesra
Tegas bukan bermakna ayah tiada perasaan terhadap anak-anak. Ayah mestilah jadi individu yang tegas tetapi mesra, penyayang dan boleh bergurau senda dengan anak-anak. Dengan kehangatan yang dimiliki oleh ayah, barulah anak dapat merasakan yang ayah boleh menjadi tempatnya mencurahkan isi hati.
3. Mudah didekati
Walaupun karektor seorang ayah itu sering digambarkan garang dan tegas tetapi dia mestilah mudah didekati oleh anak-anak. Ayah mesti memastikan dirinya wujud dalam kehidupan anak-anak secara fizikal dan mental. Ini akan membuatkan anak sentiasa rasa selamat dan dilindungi walaupun ayah tiada di sisi.
4. Rajin layan anak bermain
Walaupun sibuk seorang ayah mesti ada masa untuk bermain dengan anak-anak. Ia penting sebagai salah satu cara menguatkan ikatan yang baik antara ayah dan anak-anak. Ayah yang rajin melayan anak usia 0-2 tahun bermain dapat membantu perkembangan sensor motoriknya. Sementara untuk anak usia 2-5 tahun pula ia membantu perkembangan pemikiran mereka.
Anak yang kerap menghabiskan masa bermain dengan ayah akan mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi dan mudah bersosial. Sedangkan anak yang lebih rapat dengan ibu akan membesar sebagai anak yang mudah mesra disebabkan sifat ibu yang lebih terperinci dalam semua hal.
Oleh itu setiap anak diharap agar rapat dengan kedua ibu bapanya. Interaksi yang intensif antara kedua ibu bapa, terutamanya ayah dengan anak akan mewujudkan keseimbangan kecerdasan intelektual dan kecerdasan emosi. Inilah yang menjadikan seorang anak itu hebat.
Share on Google Plus

0 comments: