Bila bayi sudah mula makan, mesti ibu-ibu akan masakkan bubur nasi sebagai menu utama. Kalau ibu yang bergelar suri rumah bolehlah masak bubur bila hampir tiba waktu makan anak tapi bagi ibu bekerjaya, kenalah masak awal pagi untuk dihantar ke rumah pengasuh atau taska.
Kalau ibu terbangun lewat, memang tak sempatlah nak masak bubur nasi untuk anak. Terpaksa bekalkan anak dengan bijirin segera walaupun hati meronta tak mahu sebab nak anak makan makanan 'air tangan' ibu. Tapi apakan daya disebabkan terlewat terpaksa 'derhaka'.
Tapi lepas baca perkongsian idea bernas untuk ibu-ibu beranak kecil dalam penyediaan bubur nasi pantas, anda tak perlu risau lagi masalah terbangun lewat. Percaya tak yang kaedah tersebut hanya memerlukan masa 7 minit untuk anda memasak bubur nasi anak (bukan pakai periuk Noxxa ya!).
Langkahnya sangat mudah dan sangat menggembirakan hati semua ibu. Sambil pakai tudung pun boleh masak.
Cara penyediaan bubur nasi 7 minit
Langkah 1
Basuh beras hingga bersih dan tak perlu tos.
Langkah 2
Masukkan beras dalam bekas dan letak sedikit air di dalamnya. Frozen atau letakkan bekas berisi beras ini dalam bahagian sejuk beku (contoh kuantiti dua cawan beras iaitu stok bubur nasi bayi untuk 5-6 hari).
Langkah 3
Bila nak masak bubur, keluarkan dari peti ais dan terus masukkan dalam periuk. Tambah air, biarkan saja beras yang beku di dalam periuk. Kalau nak tambah ayam dan sayur, letak masa ini kerana beras yang disejukkan tadi akan mengembang terlalu cepat.
Langkah 4
Minit pertama gunakan api sederhana. Jangan tinggalkan bubur untuk buat kerja lain kalau tak mahu bubur hangit.
Langkah 5
Minit ke-7, beras sudah kembang dan menjadi bubur. Kalau kuantiti tak banyak, penyediaan bubur akan mengambil masa kurang dari 15 minit.
Langkah 6
Inilah rupa bubur yang sudah siap dan disejukkan, kembang elok, pekat dan halus. Selamat mencuba.

Sumber: FB Nor Sakinah Md Zainal